Wednesday, March 11, 2009
Tawaddhu'
Petua untuk melepaskan diri kita daripada bahaya takabur...
1) Jika kita menemui orang jahil dan orang fasik, maka katakanlah (beritahu) pada diri kitaa sendiri iaitu: "Orang itu melakukan dosa kerana dia jahil, padahal aku ada ilmu kerana hajat Allah Ta'ala yang begitu tinggi terhadap diriku, tergamak melakukan dosa. Maka bahawasanya orang itu lebih baik (mulia) daripada aku."
2) Sekiranya kita ternampak kanak-kanak, maka katakanlah dalam hati kita iaitu: "Kanak-kanak ini kalau melakukan dosa tidak diseksa Allah Ta'ala. Tetapi, kalau aku melakukan dosa, diseksa Allah Ta'ala. Maka bahawasanya kanak-kanak itu lebih mulia daripada aku."
3) Jika kita menemui orang alim, maka kita katakan dalam hati kita iaitu: "Orang ini dikurniakan Allah Ta'ala ilmu, sedangkan aku tidak dikurniakan sepertinya. Maka bahawasanya orang alim lebih mulia daripada aku. Sepatutnya aku bersopan santun dihadapannya (merendah diri)."
4) Sekiranya kita menemui orang tua, maka katakanlah dalam hati kiata iaitu: "Orang ini lebih tua daripadaku, tentu ilmunya pun banyak daripadaku kerana dia lebih banyak melihat dan mendengar. Maka bahawasanya orang tua ini lebih mulia daripada aku."
5) Kalau kita ternampak semua binatang, maka dalam hati kita katakan iaitu: "Binatang ini tidak berdosa, tidak diseksa Allah Ta'ala. Sedang aku diseksa Allah Ta'ala kerana banyak melakukan dosa. Maka bahawasanya binatang ini lebih mulia daripada aku."
Insya allah ketika itu juga kita akan tahu dan sedar bahawa diri kita sebenarnya tidak memiliki kemuliaan walau sezarah pun iaitu selepas kita merenung diri sendiri..
Sumber: Cahayamukmin...
Susahnya Menjaga Hati
Susahnya menjaga hati. Sedangkan ia adalah tempat pandangan Allah. Ia merupakan wadah rebutan di antara malaikat dan syaitan. Masing-masing ingin mengisi. Malaikat dengan hidayah, syaithan dengan kekufuran. Bila tiada hidayah, ada ilmu pun tidak menjamin dapat selamat, sekalipun ilmu diperlukan
Susahnya menjaga hati. Bila dipuji, ia berbunga. Terasa luar biasa. Bila dicaci, aduh sakitnya. Pencaci dibenci. Bahkan berdendam sampai mati. Bila berilmu atau kaya, sombong mengisi dada. Jika miskin atau kurang ilmu. Rendah diri pula dengan manusia. Adakalanya kecewa. Kemuncaknya putus asa. Pada takdir yang menimpa, kita susah untuk redha. Ujian yang datang, sabar tiada. Jiwa menderita.
Melihat kelebihan orang lain, hati tersiksa. Kesusahan orang lain, hati menghina. Bahkan terhibur pula. Suka menegur orang, tapi bila ditegur hati luka. Aduh susahnya menjaga hati. Patutlah ia dikatakan raja diri. Bukankah sifat sombong pakaian Raja?!
Bukan mudah menahan marah apabila orang marah kepada kita atau orang membuat kesalahan kepada kita. Bukan mudah tidak membalas terhadap orang yang menganiaya dan memfitnah kita. Sedangkan mereka menyusahkan kita, dan kita pun menderita dibuatnya.
Tidak mudah menahan perasaan hati agar tidak berbunga ketika ada orang memuji kita. Apakah kita boleh menolak pujian itu dengan rasa hati bahwa kita tidak layak menerimanya? Tidak mudah, biasanya hati sedap dan berbunga rasanya.
Apabila kita berhadapan dengan orang serba istimewa, ada yang kaya, berjabatan tinggi, tinggi ilmunya sedangkan kita orang biasa saja, biasanya kita inferiority complex dibuatnya, malu pun timbul. Dapatkah kita merasa biasa saja, tidak terasa apa-apa?
Yang penting kita dengan Tuhan ada hubungan senantiasa, takut dan cinta. Terasa bahagia dengan Tuhan, rasa senang dengan-Nya yang lain tidak ada arti apa-apa. Apakah mudah hati kita menahan derita bila mendapat bala bencana? Tidak mudah, biasanya hati kita derita dibuatnya. Kita rasa kecewa, kita rasa orang yang malang hidup di dunia. Kita tidak dapat hubungkaitkan dengan hikmah dan didikan Tuhan kepada kita. Bahkan biasanya selalu saja buruk sangka dengan Tuhan yang melakukannya. Hati kita rasa bahwa tidak semestinya Tuhan menyusahkan kita.
Begitu jugalah kalau kita orang istimewa, berilmu, berjabatan tinggi, kaya! Biasanya rasa megah datang tiba-tiba, sombong pun berbunga, mulailah kita menghina. Hidup kita pun mulailah berubah, sebelumnya beragama lupa agama. Kalau dahulu dapat bergaul dengan orang biasa, sekarang kawan kita golongan atas saja. Hendak bergaul dengan orang biasa seperti dahulu rasa jatuh wibawa.
Begitulah hati manusia sentiasa berubah-ubah apabila berubah keadaan. Kerana itulah kita disuruh berdoa: “Ya Allah tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu, dan mentaati-Mu.” Amin...ya rabbalaalamin.....
Mutiara kata Ibnu-Qayyum
Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.
Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT.
Di dalam hati manusia juga ada kesedihan, kegelisahan dan tidak akan tenang kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa dengan Allah SWT.
Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan larangan Allah SWT serta qada dan qadar-Nya serta sentiasa sabar menemui-Nya.
Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepada Allah dan bermohon kepadaNYa.
Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati si hamba itu....
Tuesday, January 6, 2009

Alhamdulillah syukur dipanjatkan kehadrat illahi...setelah sekian lamanya ingin aku mencuba...memberanikan diri untuk menulis di medan bicara tanpa suara ini, akhirnya Allah gerakkan nurani ini untuk memulakan sesuatu...dari tiada kepada ada. Moga apa yang terisi ada manafaatnya ada iktibarnya dan ada hikmahnya...walau bukan untuk orang lain, sekurang-kurangnya buat diriku sendiri.
Computer phobia...itulah aku. Tapi insya allah aku harapkan moga bermula dari hari ini dan bermulanya disini, pencarian untuk aku mengutip dan mengabadikan rempah ratus kehidupan sebagai titipan dan bekal perjalanan seorang aku dalam kembara yang berdestinasi .... Kembara seorang perindu yang pasti bertemu noktah kehidupan. Kehidupan yang harus diisi, yang menuntut hak hakiki...itu janji kita kita kepada ILLAHI...